Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Warung Ramli Kampung Assam Jawa, Bukit Melawati pada 18 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

400 ayam habis dalam 45 minit di jualan murah DUN Bukit Melawati

KUALA SELANGOR, 18 JAN: Hampir 400 ekor ayam dijual dalam tempoh kurang dari 45 minit menerusi Jualan Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati hari ini.

Setiausaha Pejabat Pengurus Besar Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Fatimah Mohd Johari berkata sambutan diterima amat menggalakkan kerana orang ramai sedia maklum tentang program tersebut.

“Biasanya jualan bermula jam 10 pagi tetapi hari ini awal 15 minit kerana semua persiapan telah selesai dan tidak mahu penduduk menunggu terlalu lama.

“Kita bawa 500 ekor ayam dan hampir 400 terjual kurang dari 45 minit. Beras, daging dan telur juga mendapat sambutan orang ramai,” katanya ditemui pada program jualan murah di Kedai Makan Tok Ramli, Kampung Assam Jawa, di sini hari ini.

Bagi memastikan jualan berjalan lancar, Fatimah berkata pihaknya mengasingkan kaunter bayaran dan pengambilan barangan bagi mengelak masalah keciciran barang dan urusan pembayaran berjalan lancar.

Program jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di hampir 700 lokasi sekitar 56 DUN.

Inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :