Pekerja, Che Mohd Zariat Che Abd Latif, 31, memeriksa ternakan kambing ketika tinjauan di Kampung Bari, Setiu, Terengganu pada 5 Januari 2023. Bencana banjir yang melanda Terengganu pada bulan lalu menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan perikanan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

440 penternak rugi lebih RM3.9 juta akibat banjir pada Disember 2022

KOTA BHARU, 8 JAN: Seramai 440 penternak seluruh negara direkodkan mengalami kerugian lebih RM3.9 juta akibat banjir pada Disember lepas, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Dr Suratan Kamarudin.

Beliau berkata kerugian itu membabitkan kematian ternakan dan kerosakan kandang, homplot (tanaman rumput), peralatan serta mesin ladang.

“Saya berharap kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada penternak seperti yang telah diperuntukkan pada tahun sebelum ini.

“JPV sentiasa melakukan pemantauan dan penilaian berterusan bagi tujuan menyalurkan bantuan kepada penternak terjejas dalam industri ternakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Haiwan Kesayangan Pasca Banjir di Kelantan di sini hari ini.

Dr Suratan berkata pada 2021 kerajaan membelanjakan lebih RM1.6 juta bagi membantu 287 penternak terjejas berikutan bencana di seluruh negara.

Beliau berkata semasa musim banjir, jabatan itu telah membantu mengenal pasti kawasan tinggi untuk pemilik memindahkan haiwan ternakan seperti lembu, kambing, ayam dan itik ke tempat lebih selamat.

Mengulas mengenai kejadian positif demam babi Afrika (ASF) yang dikesan di Pulau Pinang, Dr Suratan menasihatkan pemilik ladang ternakan babi supaya meningkatkan kawalan bagi membendung penularan.

Beliau berkata antara negeri berisiko berlaku wabak adalah Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Johor.

Semalam, sebuah lagi ladang ternak babi di Kampung Valdor, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang ditutup ekoran kes baharu penyakit ASF dikesan di ladang berkenaan, menjadikan dua kes terkumpul positif ASF membabitkan dua ladang ternakan babi di negeri itu, setakat ini.

– BERNAMA


Pengarang :