Orang ramai membeli barangan keperluan dapur dalam Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Subang Jaya di Court 1 USJ pada 16 Januari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

500 ekor ayam, 300 papan telur habis dalam sejam di jualan murah DUN Subang Jaya

Oleh Diana Abd Wahab

SUBANG JAYA, 16 JAN: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri yang berlangsung di Court 1 USJ, di sini, tetap mendapat sambutan meskipun bukan diadakan pada hari minggu.

Inisiatif jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya itu menyaksikan 500 ekor ayam standard dan 300 papan telur habis terjual dalam tempoh sejam.

Pengurus Audit Dalam Integriti dan Pengurusan Risiko Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Faradina Hairudin.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengurus Audit Dalam Integriti dan Pengurusan Risiko Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Faradina Hairudin berkata  orang ramai sanggup beratur dua jam awal untuk membeli barangan dalam jualan murah itu.

“Orang ramai mula beratur seawal jam 7.30  pagi biarpun barang jual masih belum disusun. Program sepatutnya bermula jam 10 pagi.

“Namun kita ambil keputusan mula jualan 30 minit lebih awal memandangkan barisan pengunjung bertambah panjang.

“Telur dan ayam barangan paling laris. Tepat jam 10 pagi hampir 300 ekor ayam dan 150 papan telur terjual, dalam sejam semua 500 ekor dan 300 papan terjual,” katanya ketika ditemui hari ini.

Faradina berkata pihaknya mengehadkan pembelian ayam dan telur masing-masing dua papan dan dua ekor setiap seorang bagi memastikan semua pengunjung berpeluang membeli barangan terlaris itu.

“Jika pembeli mahu beli lebih daripada ditetapkan mereka perlu beratur dan ambil giliran sekali lagi,” katanya.

Program kendalian PKPS itu turut menawarkan jualan 300 pek daging pejal segar (RM10 per pek), 150 botol minyak masak 5kg (RM25), 300 kampit beras 5kg (RM10) dan 300 pek ikan kembung (RM6 per pek).

Selain di DUN Subang Jaya, JER yang memulakan jualan mulai hari ini turut dilaksanakan di DUN Sabak, DUN Kuang, DUN Rawang, DUN Seri Serdang, DUN Banting, DUN Dengkil, DUN Paya Jaras dan DUN Hulu Kelang.

Sebelum ini, jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Orang ramai beratur untuk membeli barangan keperluan dapur dalam Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Subang Jaya di Court 1 USJ pada 16 Januari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :