Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) bersama EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika simbolik perasmian program Baucar Halal Selangor 2022 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

5,600 penduduk kurang mampu dapat baucar halal RM100 sebelum Ramadan

SHAH ALAM, 20 JAN: Seramai 5,600 penduduk kurang berkemampuan dari 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal menerima baucar halal bernilai RM100 untuk membeli-belah di pasar raya terpilih.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata senarai penerima sudah dikenal pasti pusat khidmat masyarakat (PKM) berkenaan dan dijangka diagihkan sebelum Ramadan.

“Baucar diagihkan kepada kira-kira 100 penerima bagi setiap DUN. Wakil rakyat di setiap DUN sudah selesai mengenal pasti dan mendapatkan data penerima layak,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Mohd Zawawi berkata pihaknya menyerahkan kepada wakil rakyat untuk mengesan penerima yang benar-benar layak bagi memastikan agihan baucar halal dibuat secara adil.

Katanya, penerimaan rakyat terhadap inisiatif itu memberangsangkan berikutan ia diberi secara percuma untuk membeli barangan halal di premis terpilih.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan 2023 mengumumkan dana RM1 juta bagi pelaksanaan baucar halal yang memberi manfaat serampang dua mata.

Selain meningkatkan pengeluaran kepada penggiat industri produk halal, bantuan itu juga dapat membantu rakyat memerlukan berbelanja barangan asas.

 


Pengarang :