Pelajar membaca ayat suci Al-Quran majlis khatam hafazan ketika Ijtimak Huffaz Selangor ke – 15 anjuran Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) di Masjid Negeri, Shah Alam pada 24 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

878 pelajar ikuti program pengajian Akademi Literasi al-Quran Selangor

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 29 JAN: Seramai 878 pelajar mengikuti pelbagai program pengajian ditawarkan Akademi Literasi al-Quran Selangor ketika ini, kata EXCO hal ehwal agama Islam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata jumlah itu termasuk 60 pelajar yang mengikuti pengajian talaqi al-Quran peringkat asas dan menengah di Masjid Jamek Kampung Baru Kuala Lumpur.

“Sementara program pengajian di Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah disertai 702 pelajar dan baki 116 pelajar mengikuti program pengajian di Masjid Jamek Sultan Ibrahim Kuala Selangor (35 pelajar), Masjid Jamek Sultan Hishamuddin Sepang (21 pelajar) dan Masjid As- Sajidin Batang Kali, Hulu Selangor (60 pelajar),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pengurus Akademi Literasi al-Quran Selangor Abu Dzar Adanan (dua, kiri) bersalaman dengan wakil Masjid Jamek Kampung Baru Dato’ Mod Khay Ibrahim selepas memeterai MoU di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Negeri Shah Alam pada 9 Januari 2022. Turut menyaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Shahzihan Ahmad (kiri) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Ajib Ismail (kanan). Foto Facebook Jais

Pada 9 Januari, Akademi Literasi al-Quran Selangor dengan Masjid Jamek Kampung Baru Kuala Lumpur memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk melaksanakan Program Pengajian al-Quran Bersijil.

Akademi Literasi al-Quran yang ditubuhkan pada 9 Oktober tahun lalu bertujuan melahirkan umat Islam mahir membaca, mengajar, mengamal dan mempersenikan kitab suci.

Akademi itu dilancarkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri 1444H/2022M.

Akademi berkenaan ditubuhkan sebagai langkah khusus negeri ini menjaga, melahirkan umat Islam yang berkemahiran untuk membaca dan mengajar, berupaya untuk mengamal dan berkebolehan untuk mempersenikan kitab suci.

Pelajar yang mengikuti pengajian di situ dapat membina kemahiran menulis kaedah Rasm Utmani dan Dabul Quran serta memperolehi pengetahuan secara asas berkaitan ilmu Qiraat dengan menggunakan kitab yang muktabar.


Pengarang :