Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra bersama penduduk setempat ketika berangkat mengadakan lawatan di Kampung Raja, Cameron Highlands pada 6 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong titah kajian semula projek pembangunan di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS, 6 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya kajian semula dijalankan ke atas semua projek pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi di Cameron Highlands, berikutan kebimbangan berlakunya bencana alam.

Al-Sultan Abdullah bertitah segala bentuk projek di atas bukit tinggi, harus diberi perhatian yang serius kerana baginda mendapati masih terdapat projek, khususnya yang berasaskan pertanian dilihat berleluasa di Cameron Highlands.

“Cukuplah. Saya sudah cakap dulu dan sekarang. Walaupun ada kelulusan, perlu dikaji semula. Kalau tidak, mungkin kawasan ini menjadi botak dan tidak ada lagi kawasan hijau ataupun hutan-hutan atas bukit lagi.

“Sementara kajian semula, kalau perlu tangguhkan semua kelulusan untuk semua kawasan Cameron Highlands sementara ini di bukit tinggi.

“Setiap kali saya terbang ke sini, ada sahaja kawasan tinggi bukit telah dipotong, ini satu kemusykilan bagi saya dan harap kerajaan negeri memberi penekanan dalam hal ini, kalau tidak ia akan berterusan,” titahnya pada majlis pengurniaan sumbangan kepada mangsa banjir lumpur yang melanda Kampung Baru, Kampung Raja di sini pada bulan lepas.

Baginda menzahirkan simpati kepada mangsa terlibat dan kesyukuran kerana tiada kehilangan nyawa dalam musibah banjir lumpur itu dan berharap projek berhampiran kawasan penempatan berkenaan turut dikaji semula bagi mengelakkan kerosakan persekitaran dan ekosistem.

Al-Sultan Abdullah bertitah pihak berkaitan supaya tidak sewenang-wenangnya memberi kelulusan projek tanpa penelitian keadaan sebenar lokasi dan turun padang, supaya kelulusan diberi bagi sesuatu projek lebih dibuat dengan berhati-hati.

“Kena turun padang sendiri, jangan berdasarkan peta semata-mata sebab itu saya cadang Menteri Besar, Pegawai Daerah dan Tanah, tinjau melalui helikopter dan gunakan segala teknologi ada, sekarang ada dron.

“Guna kaedah-kaedah moden ini untuk tinjauan dan jangan harap kaedah lama semata-mata,” titah baginda.

Baginda turut berharap kejadian tanah runtuh yang mengorbankan mangsa di Batang Kali, Selangor tidak berulang di mana-mana, khususnya di Cameron Highlands dan Pahang.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada seramai 21 keluarga mangsa banjir lumpur berkenaan, sebelum berangkat pulang pada 5 petang.

Disember lepas, beberapa rumah dan jalan sekitar Kampung Raja dipenuhi lumpur susulan banjir kilat yang berlaku di kawasan itu.

– BERNAMA


Pengarang :