Penduduk di kawasan terjejas beratur mengambil bekalan air disediakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Foto Facebook AIR SELANGOR
AGENDANASIONALSELANGOR

Air Selangor: 97 peratus bekalan air pulih takat jam 9 pagi

SHAH ALAM, 1 JAN: Status pemulihan bekalan air melibatkan 221 kawasan di empat wilayah terjejas susulan henti tugas sementara logi rawatan air (LRA) Sungai Semenyih mencapai 97.5 peratus setakat 9 pagi ini, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Agensi itu memaklumkan tiga kawasan pulih 100 peratus iaitu Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat manakala Petaling mencapai 90 peratus.

“Tempoh pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan agar menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan masih terjejas berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan sisa pencemaran di stesen pam air mentah Jenderam Hilir petang semalam berpunca daripada pati minyak wangi akibat kemalangan di Lebuhraya Elite di Negeri Sembilan pada 24 Disember lalu.

Namun, aliran yang tercemar dijangka dialir (flush) dalam tempoh tiga hingga ke empat jam dengan kekerapan pensampelan bau setiap 15 minit. Bacaan pada 8.45 malam mencatat 1 TON.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Air Selangor menghenti tugas sementara loji tersebut pada 7 malam.


Pengarang :