Pengurus Akademi Literasi al-Quran Selangor Abu Dzar Adanan (dua, kiri) bersalaman dengan wakil Masjid Jamek Kampung Baru Dato’ Mod Khay Ibrahim selepas memeterai MoU di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Negeri Shah Alam pada 9 Januari 2022. Turut menyaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Shahzihan Ahmad (kiri) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Ajib Ismail (kanan). Foto Facebook Jais
AGENSI SELANGOR

Akademi Literasi al-Quran dan Masjid Jamek Kampung Baru meterai MoU, lahir umat celik kitab suci

SHAH ALAM, 9 JAN: Akademi Literasi al-Quran Selangor bekerjasama dengan Masjid Jamek Kampung Baru Kuala Lumpur untuk melaksanakan Program Pengajian Al-Quran Bersijil.

Kerjasama tersebut dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

MoU ditandatangani oleh Pengurus Akademi Literasi al-Quran Selangor Abu Dzar Adanan manakala Masjid Jamek Kampung Baru diwakili oleh Dato’ Mod Khay Ibrahim.

Turut menyaksikan majlis tersebut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Shahzihan Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail.

Shahzihan menerusi kenyataan memaklumkan Akademi Literasi al-Quran Selangor ditubuhkan sebagai langkah khusus negeri ini menjaga, melahirkan umat Islam yang berkemahiran untuk membaca dan mengajar, berupaya untuk mengamal dan berkebolehan untuk mempersenikan kitab suci.

“Para pelajar yang mengikuti pengajian di sini dapat membina kemahiran menulis kaedah Rasm Utmani dan Dabul Quran serta memperolehi pengetahuan secara asas berkaitan ilmu-ilmu Qiraat dengan menggunakan kitab-kitab yang muktabar.

“Malah, akademi ini merupakan sebuah badan rasmi yang berautoriti bagi menegur dengan cara yang sesuai kepada mereka yang melakukan kesilapan dalam pembacaan dan penulisan al-Quran,” katanya.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Jais menubuhkan Akademi Literasi al-Quran bagi melahirkan umat Islam mahir membaca, mengajar, mengamal dan mempersenikan kitab suci.

Seramai 60 pensyarah dilantik bagi memberdaya pembacaan al-Quran berpandukan riwayat Hafs ‘An ‘Asim melalui Toriq Syatibiyyah.


Pengarang :