Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Dato’ Johary Anuar menerusi program Subang Jaya Coffee Talk melalui Facebook MBSJ pada 10 Januari 2023. Foto FACEBOOK MBSJ
PBTSELANGOR

Aktiviti menarik menanti pengunjung dalam program hari tanpa kenderaan MBSJ

SHAH ALAM, 11 JAN: Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan dalam program Hari Tanpa Kenderaan @ Selamat Pagi Subang Jaya anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bulan depan.

Datuk Bandar berkata aktiviti tersebut adalah kejohanan basikal ‘The Prince Criterium Development League’ (enam sirkit) dan kayuhan endurance 100 kilometer (50 pusingan x 2km).

Dato’ Johary Anuar berkata turut dianjurkan Push Bike Development Programme, pertandingan busker dan Pembangunan Remaja Futsal Subang Jaya.

“Aktiviti ini antara penambahbaikan dalam program ini. Selain itu beberapa aktiviti lain turut diperkenalkan tahun ini antaranya larian dan jalan santai, memanah, pesta sarapan, pertandingan memasak dan saringan kesihatan.

“MBSJ terus komited dalam menyediakan pelbagai aktiviti sihat dan infrastruktur yang inklusif khusus buat komuniti dan masyarakat bandar raya ini,” katanya ketika bersiaran secara langsung menerusi program Subang Jaya Coffee Talk di Facebook MBSJ semalam.

Hari Tanpa Kenderaan MBSJ @ Selamat Pagi Subang Jaya yang bermula sejak Ogos tahun lalu itu dijalankan pada Ahad minggu pertama setiap bulan.

Program bermula dari jam 7 hingga 11 pagi itu diadakan di Jalan Persiaran Kemajuan, berhadapan pusat membeli-belah Subang Parade dan Aeon Big.

Program itu dianjurkan sebagai usaha menjadikan MBSJ sebagai bandar rendah karbon menjelang 2030.


Pengarang :