Aliran trafik di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur menghala ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dilihat lancar dan tiada sebarang kesesakan ketika tinjauan sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina pada 20 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aliran trafik meningkat di lebuh raya utama malam ini

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar setakat 9 malam ini walaupun berlaku pertambahan kenderaan berikutan cuti panjang sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Jurucakap Plus Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata aliran trafik menuju ke utara perlahan dari Bukit Lanjan ke Sungai Buloh susulan kemalangan di kilometer 456.7 menyebabkan kesesakan satu kilometer.

Selain itu, aliran trafik juga perlahan dari Tapah ke Gopeng di kawasan mendaki Gua Tempurung dan Ipoh Selatan ke Ipoh Utara.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula berkata aliran trafik perlahan di Skudai menuju ke Senai dan Sedenak ke Simpang Renggam.

Selain itu, aliran trafik Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 perlahan di Karak ke Plaza Tol Karak yang menyebabkan kesesakan dua kilometer serta Bentong Timur ke Karak.

Laluan di LPT 2 dan Plaza Tol Sungai Besi pula lancar di kedua-dua arah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1-800-88-0000 dan laman Twitter www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman Twitter www.twitter.com/llminfotrafik

– BERNAMA


Pengarang :