AGENDANASIONAL

Amaran hujan lebat di Putrajaya, enam daerah di Selangor hingga 9 malam

SHAH ALAM, 20 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Selangor melibatkan enam daerah sehingga 9 malam ini.

Agensi tersebut menerusi Twitter memaklumkan daerah tersebut adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang serta seluruh Putrajaya dan Melaka.

Negeri lain pula, Kedah di Kulim dan Bandar Baharu; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera), Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin) serta Johor (Tangkak dan Muar).

Manakala Sarawak di Sri Aman (Lubok Antu), Betong (Saratok), Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Miri (Marudi) dan Limbang serta Sabah di Pedalaman (Sipitang dan Beaufort) dan Kudat.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :