Pemandu kenderaan dan penunggang motosikal terpaksa meredah banjir berikutan hujan lebat berterusan ketika tinjauan Selangorkini di Persiaran Jubli Perak Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Amaran ribut petir, hujan enam daerah di Selangor hingga 7 malam

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 27 JAN: Enam daerah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diramal ribut petir, hujan lebat serta angin kencang sehingga jam 7 malam ini.

Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan enam daerah terlibat ialah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Beberapa daerah di Kedah iaitu Kulim dan Bandar Baharu, Perak (Kerian, Larut, Matang, Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim), Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin) dan seluruh Melaka diramal mengalami cuaca sama.

Turut terlibat Miri dan Limbang di Sarawak serta sejumlah kawasan di Sabah melibatkan Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Kudat.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :