Wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tengah, hadapan) bersama komuniti senaman Luk Tung Kuen menjalankan gotong-royong di Laman Sukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Subang Jaya pada 3 Januari 2023. Foto Facebook Michelle Ng Mei Sze
ADNSELANGOR

Anjur joging sambil kutip sampah, wakil rakyat adaptasi budaya sihat negara maju

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 4 JAN: Wakil rakyat Subang Jaya berhasrat menganjurkan riadah berjoging sambil mengutip sampah (plogging) bersama komuniti setempat.

Michelle Ng Mei Sze berkata kegiatan berkenaan popular di beberapa negara maju seperti Sweden, Sepanyol, Australia dan Jepun yang yang terkenal dengan amalan menjaga kebersihan tempat awam.

“Di negara barat, kegiatan ini (plogging) sangat popular. Kegiatan ini bagus kerana selain dapat menyihatkan badan, kita juga dapat manfaatkan untuk kebersihan setempat,” katanya di Facebook.

Wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (empat, kiri) bersama sebahagian komuniti senaman Luk Tung Kuen menjalankan gotong-royong di Laman Sukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Subang Jaya pada 3 Januari 2023. Foto Facebook Michelle Ng Mei Sze

Semalam, Michelle bersama lebih 50 warga komuniti senaman Luk Tung Kuen menjalankan gotong-royong di Laman Sukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di USJ 1, Subang Jaya.

“Ini merupakan inisiatif penduduk yang mengambil berat aspek kebersihan setempat dan kemudahan awam. Ada perancangan supaya aktiviti ini dibuat setiap minggu.

“Saya akan berbincang dengan pihak majlis untuk membantu menyediakan stor bagi menyimpan peralatan pembersihan,” katanya lagi.


Pengarang :