Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) pada temu bual bersama Pengacara Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar (kiri) dan Ismail Adnan (dua kiri) dalam rancangan Naratif Khas bersama Perdana Menteri terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 6 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar beri jaminan perbaiki gaji minimum yang disifatkan tidak setimpal

SHAH ALAM, 6 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk memperbaiki pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang disifatkannya sebagai tidak setimpal.

Beliau berkata teguran mengenai perkara itu diterima dengan baik dan ia akan cuba diperbetulkan dari masa ke semasa.

“Saya setuju. Dalam hal upah ini ia memang tidak setimpal. Kalau kita tengok, ada syarikat yang untungnya besar tetapi upahnya sangat rendah.

“Ini yang saya sebut sambil membangun, kita robohkan. Kita bangunkan projek megah tetapi kita robohkan nilai hidup manusiawi.

“Saya terima baik teguran itu. Ia dalam landasan untuk dibaiki. Itu saya jamin, saya akan cuba,” katanya pada program Naratif Khas Bersama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di RTM malam ini.

Bermula 1 Mei tahun lalu, kerajaan melaksanakan Perintah Gaji Minimum (PGM) dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Bagaimanapun pada Disember lalu, kerajaan mengumumkan perintah itu ditangguhkan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga 1 Julai depan.


Pengarang :