Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Presiden Indonesia Joko Widodo mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala di Istana Bogor, Jawa Barat pada 9 Januari 2023. Foto BERNAMA.
AGENDANASIONAL

Anwar: Lawatan ke Indonesia capai matlamat, pelbagai isu berbangkit ditangani

JAKARTA, 9 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi dua hari beliau ke Indonesia atas undangan Presiden Joko Widodo mencapai objektif.

Beliau yang mengakhiri lawatannya hari ini berkata pelbagai isu berbangkit ditangani dalam pertemuan bersama Joko Widodo di Istana Kepresidenan Bogor dan perbincangan bersama beberapa menteri Indonesia.

Anwar berkata antara perkara yang dibincangkan ialah ekonomi dan pelaburan dua hala, pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, isu persempadanan yang telah berlarutan selama 60 tahun serta tenaga kerja negara itu di Malaysia.

“Alhamdulillah, kunjungan rasmi ke Indonesia atas undangan Presiden Indonesia mencapai maksud dan tujuan asal,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Hubungan Strategik Malaysia Indonesia: Cabaran dan Harapan’ di CTCorp Leadership Forum di sini.

Beliau berkata hati kebanyakan rakyat Indonesia tergores dengan laporan kes penderaan dan sebagainya membabitkan tenaga kerja warganegara itu walaupun jumlahnya sangat kecil.

“Kita beri jaminan bahawa kita ada tindakan tegas oleh pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Anwar, yang dikenali sebagai tokoh perjuangan dan perubahan di Indonesia, turut menzahirkan rasa gembira apabila dapat bertemu ramai kenalan termasuk tokoh Islam, budayawan dan politik serta bekas menteri.

“Ini menunjukkan persahabatan yang terjalin bukan saja di tingkat atas tetapi sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata konglomerat Indonesia yang terlibat dalam bidang kewangan, perladangan dan pembinaan milik Chairul Tanjung akan berkunjung ke Malaysia beberapa minggu lagi untuk meneroka sektor perkhidmatan serta teknologi maklumat.

Dalam sesi bersama ahli perniagaan, Perdana Menteri memberi keyakinan kepada pelabur mengenai perubahan yang sedang berlaku di Malaysia meliputi kemudahan untuk menjalankan perniagaan dan kadar kelulusan pelaburan yang pantas.

Anwar dan delegasi berlepas pulang ke tanah air selepas menamatkan lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak menyandang jawatan itu pada 24 Nov lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.30 petang waktu tempatan (7.30 petang waktu Malaysia).

Semasa lawatan itu, beliau memulakan tradisi bersongkok dalam acara tertentu demi memartabatkan budaya dan menyaksikan penyerahan 11 surat hasrat (LoI) 10 syarikat Malaysia untuk menyertai pembangunan Nusantara bersama Joko Widodo di Istana Kepresidenan Bogor.

— BERNAMA

 


Pengarang :