Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) tiba di Wisma Berita Angkasapuri Kota Media untuk temu bual rancangan Naratif Khas bersama Perdana Menteri terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 6 Januari 2023. Turut kelihatan, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil (dua,kiri), Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching (dua,kanan) dan Ketua Setiausaha KKD Datuk Seri Mohammad Mentek (kiri). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anwar mahu fokus isu domestik, kembalikan kegemilangan negara

SHAH ALAM, 6 JAN: Perdana menteri mahu memberi penekanan terhadap isu domestik dalam usaha mengembalikan kegemilangan negara di mata dunia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara perkara yang akan diberi perhatian adalah kos sara hidup, perumahan rakyat, peluang pekerjaan, selain kedudukan ekonomi negara.

“Saya bersyukur kerana ketika peralihan kuasa berlaku, banyak negara Islam yang hubungi saya dengan harapan tinggi. Termasuk negara Barat, Eropah, dan China.

“Jadi, sudah tentu kita berperanan dalam pelbagai isu antarabangsa. Tetapi fokus saya adalah isu domestik, ekonomi negara. Itu yang saya mahu tumpu sepenuhnya,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian ketika diwawancara dalam program Naratif Khas Bersama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di RTM malam ini.

Dalam perkara berasingan, Anwar menjelaskan beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap fitnah yang mencabar kewibawaannya sebagai pemimpin.

“Saya sudah terima ribuan tuduhan dan fitnah sejak puluhan tahun. Tetapi kalau saya rasa agak terlanjur dan melibatkan kewibawaan saya, ia harus diajar.

“Kebebasan ini bukan fitnah, apatah lagi jika pakai payung agama,” katanya.

Disember tahun lalu, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana mendakwanya berperwatakan tidak bermoral.

Beliau turut menyaman Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaannya bahawa Anwar menerima RM15 juta daripada Kerajaan Selangor semasa berkhidmat sebagai penasihat ekonomi.


Pengarang :