Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada rancangan temu bual Naratif Khas terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 6 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar tolak politik dendam, berlaku zalim seperti kerajaan terdahulu

SHAH ALAM, 7 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbirannya tidak akan mengamalkan politik dendam.

Perdana Menteri berkata pihaknya tidak pernah masuk campur atau memberi arahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup kes atau memilih dalam sebarang siasatan.

“Seperti yang kita lihat sekarang ialah beberapa langkah untuk terus menyiasat. Kalau orang yang takut, mereka akan kata ini politik dendam sedangkan saya tidak masuk campur.

“(Hakikatnya) kalau kita tidak buat apa-apa, mereka kata ini bukan tadbir urus yang baik, mahu menutup kes rasuah yang besar, tapi bila kita ambil tindakan, mereka kata ini politik untuk menekan pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Naratif Khas bersama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di RTM malam tadi.

Ahli Parlimen Tambun itu mengalu-alukan pimpinan pembangkang untuk sama membantu memberi bukti jelas jika mengetahui mengenai apa jua kesalahan rasuah atau jenayah.

Beliau turut memberi jaminan tidak akan berlaku zalim dan menyalahguna kuasa seperti yang dilakukan kerajaan terdahulu.

“Saya tahu apa erti kezaliman. Saya tidak mahu berlaku zalim. Saya dianggap tidak berjaya (sebagai pemimpin) jika guna kuasa tanpa bukti nyata,” katanya.


Pengarang :