Bot nelayan menggajikan pekerja asing tanpa permit yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor sekitar perairan Kuala Selangor pada 6 Januari 2023. Foto Facebook APMM
AGENDANASIONALSELANGOR

APMM Selangor tahan bot nelayan gajikan pekerja asing tanpa permit

SHAH ALAM, 6 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran di sekitar perairan Kuala Selangor pada kira-kira 10.30 malam, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kapten Maritim V Siva Kumar berkata bot tersebut ditahan ketika sedang menangkap ikan di kedudukan 4.3 batu nautika Kuala Selangor oleh bot peronda Maritim Malaysia menerusi Op Ehsan.

Katanya hasil pemeriksaan awal mendapati bot terbabit dikendalikan oleh dua warga tempatan masing-masing berusia 64 dan 57 tahun serta tiga warga asing berumur antara 32 hingga 39 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati kesemua kru warga asing mempunyai pengenalan diri yang sah namun gagal mengemukakan permit sah ketika diminta penguat kuasa.

“Bot bersama kru dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

– BERNAMA


Pengarang :