Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor Dato’ Ahmad Fadzil Abd Majid ketika temu bual bersama Media Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Arahan penutupan tempat perkhemahan, hutan rekreasi masih berkuat kuasa

SHAH ALAM, 1 JAN: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan arahan penutupan semua tempat perkelahan, perkhemahan serta hutan rekreasi di bawah pengurusan jabatan itu masih berkuat kuasa sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata larangan itu susulan arahan penutupan semua tempat perkelahan dan perkhemahan di Selangor, yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor pada 17 Disember lepas susulan cuaca buruk dan musim tengkujuh.

Beliau berkata mereka yang didapati bersalah melanggar arahan itu boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, JPNS turut mengeluarkan Notis Arahan Penutupan Operasi di semua kawasan hutan rekreasi di bawah pengurusannya.

“Notis ini dikeluarkan sejak Oktober lepas dan masih berkuat kuasa sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

“Notis ini juga selaras dengan Seksyen 47 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2018) iaitu mengenai larangan mana-mana individu memasuki hutan simpan kekal tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan.

– BERNAMA


Pengarang :