Atlet Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) memegang plakad insentif yang diperoleh atas kejayaan meraih pingat pada Sukan Para SUKMA 2022 dirai dalam majlis penyerahan insentif di Hotel Palm Garden, Putrajaya pada 13 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Atlet Para SUKMA Selangor gembira terima ganjaran sama rata

PUTRAJAYA, 14 JAN: Ganjaran sama rata menggembirakan atlet Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) Selangor yang melakar kejayaan pada temasya edisi ke-20, November lalu.

Atlet para olahraga Amirul Alif Raof, 28, berkata insentif RM5,000 yang diperoleh susulan kejayaan meraih dua perak dan satu gangsa membakar semangatnya untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

“Saya amat berpuas hati kerana insentif yang kami dapat kali ini sama seperti atlet SUKMA , malah jumlahnya lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Apabila Kerajaan Negeri serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor sokong atlet Para, kami jadi bersemangat untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang,” katanya kepada Selangorkini semalam.

Terdahulu, Amirul antara 50 atlet Para Selangor yang menerima insentif disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Hotel Palm Garden dekat sini.

Anak bongsu daripada lima beradik sedang giat mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Grand Prix di Dubai, India pada akhir Februari depan.

Mengakui gemuruh untuk membuat penampilan sulung di kejohanan antarabangsa, Amirul bagaimanapun tekad melakukan yang terbaik dengan sekurang-kurangnya memperbaiki kedudukan.

“Setakat ini kedudukan belum ada lagi sebab kali pertama ke kejohanan antarabangsa. Di sana nanti saya cuba buat yang terbaik bagi mendapatkan kedudukan sekali gus layak ke Sukan Asia,” katanya.

Atlet para renang Carmen Lim, 23, pula meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana hasrat memperoleh ganjaran sama rata seperti atlet normal tercapai.

“Saya berasa sangat gembira kerana akhirnya Kerajaan Negeri sedar perkara ini (beri ganjaran sama rata). Sudah pasti insentif ini menuntut saya untuk bekerja lebih keras memandangkan banyak kejohanan akan disertai.

“Selepas ini saya boleh memberi sepenuh tumpuan terhadap latihan memandangkan sudah tamat pengajian dalam jurusan undang-undang di United Kingdom. Berbeza semasa persiapan ke Para SUKMA, saya perlu bijak bahagi masa antara belajar dan latihan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama atlet boling yang meraih pingat pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2022 sempena majlis penyerahan insentif di Hotel Palm Garden, Putrajaya pada 13 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Buat pertama kalinya, Kerajaan Selangor memberi ganjaran RM3,000 kepada atlet yang meraih pingat emas, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000) dalam Para SUKMA.

Pada edisi ke-19 di Perak, insentif diberikan bagi pingat emas sebanyak RM1,000, perak (RM700) manakala gangsa (RM500).

Atlet yang merangkul emas pada temasya edisi ke-18 di Sarawak pula memperoleh RM700, perak (RM500) dan gangsa (RM300).

 


Pengarang :