Selebriti Azira Shafinaz mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini ketika menghadiri Festival Filem Malaysia (FFM) ke-32 di Melaka baru-baru ini. Foto Facebook Azira Shafinaz
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Azira cerewet dalam berkarya, tumpu asah bakat lakonan

Oleh Intan Syuhada Akhir

SHAH ALAM, 10 JAN: Dari tahun ke tahun, Azira Shafinaz enggan senang dalam zon selesa. Dia selalu hadir memberi kejutan dengan mencapahkan bakat seni baik sebagai penyanyi, pengacara mahupun pelakon.

Memasuki dunia hiburan dengan tiket sebagai penyanyi kumpulan De Fam sejak 10 tahun lalu, Azira tidak pernah berhenti berharap agar ada mana-mana rumah produksi sudi mengintai bakatnya sebagai pelakon.

Ketika itu, tidak sedikit orang memperlekeh bakatnya. Namun, anak kelahiran Kuala Lumpur terus belajar dan memperbaiki mutu kerjaya depan skrin. Kini, Azira berjaya menawan kepercayaan penerbit drama dan filem tanah air.

Tahun lalu, wanita berumur 31 tahun ini menyerlah di kaca televisyen dan pawagam. Hampir setiap drama dan filem menampilkan susuk wanita jelita ini sebagai watak utama di layar seperti One Cent Thief, Ijab Kabut, Bunga dan Kayu serta Talbis Iblis.

“Orang pernah mempertikai lakonan saya sewaktu awal-awal dulu. Tapi saya tak mengalah, saya berjanji untuk berikan yang terbaik. Apatah lagi bergelar seorang pelakon menjadi impian sejak dahulu.

“Saya tidak berani untuk berkongsi petua. Cuma apa yang saya lakukan selama ini ialah mengingatkan diri sendiri agar tidak pernah putus asa. Saya percaya ada ganjaran yang akan menanti orang-orang yang tidak pernah mengenal erti kalah,” katanya ketika ditemui Selangorkini, baru-baru ini.

Selebriti Azira Shafinaz tampil bergaya ketika menghadiri majlis pelancaran koleksi musim panas Jimmy Choo di ibu kota baru-baru ini. Foto Facebook Azira Shafinaz

Kisah dalam lagu

Selepas dua tahun menyepi, trio De Fam terdiri daripada Azira, Sophia Liana dan Nurshazwani Shamsuddin atau nama pentasnya Cik Manggis mengubat rindu peminat dengan lagu terbaharu yang dilancar pada November tahun lalu bertajuk Berubah.

Karya terbitan Faithful Music itu ditulis Faizal Tahir, Sophia Liana dan Mage. Berubah menjadi lagu keempat selepas Supergirls, Bila Ada Kamu dan Panas yang kali terakhir dihasilkan pada 2019.

Lagu Berubah menampilkan sisi terbaharu De Fam dengan rentak balada, sesuai imej Cik Manggis yang sudah bertudung. Setakat 4 Januari, Berubah merekod lebih 199,000 tontonan di YouTube.

Bukan sengaja membuat peminat menunggu lama, De Fam kuat berpegang kepada prinsip memilih karya seni yang benar-benar lahir daripada hati untuk dipersembah kepada peminat.

“Memang De Fam sudah lama senyap sebab kami sangat teliti dengan produk seni yang ingin dibawakan. Kami rasa lagu Berubah sangat sesuai untuk dibawakan sekarang. Sebelum ini kalau kami buat kemunculan semula, peminat sudah boleh teka konsep lagu De Fam.

“Kali ini segalanya berbeza. Proses rakaman lagu ini pun mencabar kerana ia memerlukan perasaan berat namun Faizal banyak membantu. Lagu ini menceritakan perjalanan hidup kami sebagai De Fam,” jelasnya.

Sebelum bergelar penyanyi, ketiga-tiga wanita ini penari latar kepada selebriti terkenal tanah air yang menggelar diri mereka Funky Fresh Family.

Mereka pernah membuat video lagu saduran lagu Black Widow nyanyian Iggy Azalea dan Rita Ora yang kemudian meledak menyebabkan bakat mereka dihidu agensi pencarian bakat, Tune Studios. Pada 2015, De Fam muncul dengan lagu pertama iaitu #Supergirls.

De Fam kemudian mengukuhkan jenamanya sehingga merangkul ‘Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu’, Anugerah Industri Muzik 2016. Tidak hairanlah sekiranya ramai artis berkumpulan perempuan hari ini menganggap De Fam sebagai idola.

Industri hiburan semakin rancak dengan kehadiran lebih ramai artis berkumpulan perempuan. Setiap tahun ada sahaja kumpulan baru yang muncul dengan konsep yang pelbagai dan ahli yang sangat muda seperti Dolla, Juita, The Sara Sisters, Cassia, Nona, The Gadys dan Stellar. Namun De Fam tidak pernah berasa tergugat.

“De Fam tidak pernah rasa diketepikan atau merasakan zaman kami sudah berlalu. Ramai yang masih menyokong kami dan panggil untuk melakukan persembahan,” kata Azira.

 

 


Pengarang :