Pelumba basikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang ketika berucap pada Majlis Pelancaran Duta Roti Gordenia Breakthru di Kuala Lumpur pada 3 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Azizulhasni, Pandelela calon olahragawan dan olahragawati 2021

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan ratu terjun Datuk Pandelela Rinong tersenarai sebagai calon Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021.

Kedua-dua ikon sukan negara itu dijangka berdepan saingan sengit daripada atlet lain yang turut disenarai pendek pada ASN yang akan berlangsung pada 31 Januari ini di Dewan Banquet Majlis Sukan Negara (MSN) dan dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi kategori Olahragawan Kebangsaan, Azizulhasni, yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ akan berhadapan saingan daripada juara dunia badminton yang juga beregu lelaki nombor satu tanah air, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Buda Anchah (bina badan), Ng Eain Yow (skuasy) dan Syarifuddin Azman (permotoran).

Sementara, Pandelela akan dicabar dua pemain skuasy, Rachel Arnold dan Aifa Azman, Meilaura Dora Jimmy (bina badan) dan Nur Amisha Azrilrizal (Muaythai) bagi kategori Olahragawati Kebangsaan.

Atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin pula mengetuai pencalonan Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, diikuti Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga), Cheah Liek Hou (para badminton), Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia).

Kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin (para olahraga), Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal) dan Brenda Anellia Larry (para renang).

MSN dalam kenyataan hari ini memaklumkan calon yang disenarai pendek adalah berdasarkan pencapaian cemerlang atlet negara di pentas antarabangsa sepanjang 2021.

“Jawatankuasa Pemilihan MSN dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Ramona Mohd Razali, menerima 49 pencalonan untuk 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Bahagian Atlet dan Paralimpik MSN serta Urusetia ASN 2021,” menurut kenyataan itu.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000.

ASN turut menawarkan tujuh anugerah lain iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Anugerah berprestij yang mula diperkenalkan sejak 1966 itu adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

Azizulhasni berjaya meraih gelaran Olahragawan Kebangsaan ASN bagi edisi 2009, 2010, 2017 dan 2019/2020 manakala Pandelela pernah dianugerahkan Olahragawati Kebangsaan pada 2013 dan 2015.

– BERNAMA


Pengarang :