Tinjauan situasi banjir dari udara sekitar daerah Pitas, Sabah pada 26 Januari 2023. Foto Pasukan Gerakan Udara PDRM Pangkalan Sabah
AGENDA NASIONAL

Bah: Jumlah mangsa di Johor menurun sedikit, tiga negeri meningkat

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang, Sabah dan Sarawak terus meningkat sejak 2 petang tadi manakala Johor mencatatkan sedikit penurunan susulan penutupan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).

Di JOHOR, mangsa banjir di tujuh daerah menurun kepada 5,427 orang berbanding 5,455 orang pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan terdapat empat PPS di Kluang ditutup sementara lima dibuka di daerah Kota Tinggi dan Mersing menjadikan jumlah keseluruhan 56 PPS yang masih beroperasi.

Segamat masih terjejas teruk melibatkan mangsa seramai 1,762 orang daripada 498 keluarga, Kluang 1,176 orang (323 keluarga), Mersing 1,173 orang (359 keluarga), Kota Tinggi 782 orang (190 keluarga), Batu Pahat 299 orang (79 keluarga), Muar 217 orang (47 keluarga) dan Pontian 18 orang (empat keluarga).

Sementara itu, paras air di tiga sungai di negeri itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Segamat menunjukkan bacaan 19.31 meter (m); Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang di paras 15.91 m, dan Sungai Endau, Mersing pada paras 2.49 m.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin terus meningkat apabila sebuah lagi PPS dibuka tengah hari ini menjadikan sejumlah empat PPS beroperasi di negeri itu bagi menempatkan 320 mangsa daripada 96 keluarga.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan PPS yang baharu dibuka merupakan Balai Raya Rekoh yang menempatkan 122 orang (35 keluarga).

Lain-lain PPS iaitu Balai Raya Kampung Setajam mempunyai 151 orang (48 keluarga), Balai Raya Bukit Lepas 40 mangsa (11 keluarga) manakala tujuh mangsa daripada dua keluarga berada di Balai Raya Perwira Jaya.

Laman web portal rasmi info banjir JPS, publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Keratong di Rompin telah melepasi paras bahaya dengan trend menaik.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 6,331 orang (2,168 keluarga) yang ditempatkan di 25 PPS di lima daerah setakat 2 petang ini, berbanding 6,313 orang (2,187 keluarga) pada 8 pagi tadi.

Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir teramai adalah di Kota Marudu dengan 4,789 orang daripada 1,731 keluarga, ditempatkan di 11 PPS di daerah tersebut.

Seramai 762 orang (177 keluarga) dipindahkan ke tiga PPS di Kudat, 406 orang (162 keluarga) ditempatkan di empat PPS di Pitas, 356 orang (95 keluarga) dipindahkan ke enam PPS di Paitan, serta 18 orang (tiga keluarga) berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Terusan di Lahad Datu.

“Jumlah mangsa banjir dijangka kekal dan beberapa kawasan dijangka menurun petang ini,” menurut kenyataan itu.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir masih terkawal dengan seramai 56 orang daripada 17 keluarga ditempatkan di dua PPS yang terletak di daerah Lundu dan Sematan setakat 2 petang ini.

Menurut JPBN, PPS SK Sebat merekodkan sedikit peningkatan kepada 17 mangsa berbanding 14 orang pagi tadi, manakala PPS Balai Raya Kampung Sebat Dayak kekal 39 mangsa.

MetMalaysia hari ini meramalkan cuaca ribut petir berlaku petang dan malam ini di beberapa kawasan di Sarawak antaranya Kuching, Sri Aman, Betong, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

— BERNAMA

 


Pengarang :