Pihak berkuasa mengadakan kawalan di luar Kedutaan Turki di Stockholm, Sweden selepas pemimpin politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan mahu membakar al-Quran pada 21 Januari 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Bakar al-Quran: Kebebasan suara ada had, Sweden digesa bertindak tegas – Mohd Na’im

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa pemerintah Sweden bertindak tegas terhadap perbuatan provokatif ahli politik pelampau yang membakar al-Quran di ibu negara itu.

Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata tindakan biadap ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan perlu dibantah kerana menyalahgunakan prinsip kebebasan bersuara serta mewujudkan ketidaktenteraman masyarakat dunia.

“Seluruh masyarakat diseru menghormati kemuliaan agama Islam, membudayakan dialog dan menyemarakkan nilai kehormatan sejagat bagi mewujudkan keharmonian hidup masyarakat dunia hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Paludan membuktikan kesungguhan Malaysia untuk menentang sebarang bentuk keganasan dan kebencian khususnya Islamofobia.

Paludan, pemimpin parti pelampau kanan Denmark ‘Stram Kurs’, diberikan kebenaran membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.

 


Pengarang :