Anggota tentera membantu memindahkan mangsa banjir di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, Johor pada 24 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Johor: Jumlah mangsa meningkat 1,703 orang setakat 8 malam

JOHOR BAHRU, 24 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 1,703 orang setakat 8 malam ini berbanding 1,093 orang yang direkodkan pada 4 petang tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (PPBN) berkata tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan kesemuanya 16 PPS di Daerah Kota Tinggi, Kluang dan Segamat.

“Segamat paling teruk dilanda banjir dengan 1,229 orang daripada 325 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

Bagi Daerah Kluang pula, seramai 300 orang daripada 84 keluarga dipindahkan ke enam PPS sementara 174 penduduk daripada 40 keluarga di Daerah Kota Tinggi dipindahkan ke dua PPS,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, petang ini.

Selain tiga jalan di Kota Tinggi, Jalan Senai-Gemas (FT001) dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung, kedua-duanya di Segamat, turut ditutup untuk semua kenderaan, menurut jawatankuasa itu.

Sementara itu, data Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan empat sungai di Johor melepasi paras bahaya dengan trend menaik iaitu Sungai Muar (muara Sungai Gemas) berada di paras 19.06 meter (m), Sungai Lenik (Ladang Chaah) di paras 6.66m, Sungai Segamat (Segamat Kecil) di paras 38.06m dan Sungai Kahang (Kampung Contoh) di paras 14.7 m.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :