Anggota tentera membantu memindahkan mangsa banjir di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi pada 24 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Johor: Jumlah mangsa meningkat 2,912 orang sehingga 12 tengah malam

JOHOR BAHRU, 25 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor melonjak kepada 2,912 orang setakat 12 tengah malam tadi berbanding 1,703 yang direkodkan pada 8 malam dengan Mersing menjadi daerah terbaharu terjejas bencana itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan semalam memaklumkan 14 pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan PPS ialah 30 di daerah Kota Tinggi, Kluang, Mersing dan Segamat.

“Segamat terus menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 1,392 orang daripada 393 keluarga ditempatkan di 13 PPS diikuti Kluang dengan 785 orang daripada 223 keluarga ditempatkan di sembilan PPS,” menurut kenyataan itu.

Di Kota Tinggi, JPBN memaklumkan seramai 471 orang daripada 120 keluarga ditempatkan di enam PPS manakala di daerah Mersing terdapat dua PPS yang menempatkan 264 penduduk daripada 97 keluarga.

Kenyataan itu memaklumkan selain tiga laluan di Kota Tinggi, Jalan Senai-Gemas (FT001) dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung, kedua-duanya di Segamat, turut ditutup kepada semua kenderaan.

Data Jabatan Pengairan dan Saliran pula menunjukkan empat sungai di Johor melepasi paras bahaya dengan trend menaik iaitu Sungai Muar (muara Sungai Gemas) berada di paras 19.12 meter, Sungai Lenik (Ladang Chaah) 7.34 meter, Sungai Segamat (Segamat Kecil) 37.9 meter dan Sungai Kahang (Kampung Contoh) 15.11 meter.

– BERNAMA


Pengarang :