EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau menyerahkan bantuan kepada penerima ketika program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Hulu Langat di kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi pada 11 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Banyak syarat dilonggarkan, lebih ramai dijangka mohon alatan niaga tahun ini

SHAH ALAM, 25 JAN: Permohonan bantuan blueprint pembasmian kemiskinan dijangka bertambah tahun ini berikutan kelonggaran beberapa syarat, kata EXCO pembangunan sosioekonomi.

Menurut V Ganabatirau, syarat itu membabitkan nilai bantuan peralatan dan mesin sehingga RM10,000 berbanding RM5,000 tahun lalu selain had usia pemohon diturunkan kepada 21 tahun.

Katanya, bantuan itu juga kini terbuka kepada penjaja, peniaga dan individu bekerja sendiri yang berpendapatan bulanan bawah RM3,000 berbanding RM1,500 sebelum ini.

“Kita menambah baik kriteria permohonan ini supaya kelayakannya lebih ramai walaupun peruntukan keseluruhan masih kekal RM2 juta bagi melaksanakan program ini,” katanya ketika dihubungi.

Ganabatirau berkata pihaknya akan berbincang dengan semua pejabat tanah dan daerah mulai bulan depan bagi menentukan individu yang layak menerima bantuan itu hasil permohonan hujung tahun lalu.

“Pada masa sama, kita minta pandangan Unit Perancang Ekonomi Negeri dan penghulu kampung yang turut melakukan pemeriksaan secara rawak,” katanya menambah Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) menjadi pembekal peralatan dan mesin bagi program berkenaan tahun ini.

Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM2 juta bagi meneruskan program blueprint kemiskinan yang mula diperkenal sejak 2008 dengan menyasar golongan berpendapatan rendah (B40).

Program yang memanfaatkan 236 individu tahun lalu turut menyasar peserta yang menceburi perusahaan jahitan, perniagaan runcit, makanan, asuhan kanak-kanak, perusahaan kecil serta kraftangan.


Pengarang :