AGENSISELANGOR

Bayar balik pembiayaan, usahawan Hijrah berpeluang menang hadiah lebih RM20,000

SHAH ALAM, 15 JAN: Usahawan pelbagai skim Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berpeluang membawa pulang hadiah lebih RM20,000 menerusi kempen bayar balik.

Yayasan itu memaklumkan kempen mulai 1 Januari hingga 18 Disember terbuka kepada semua usahawan yang masih mempunyai pembiayaan dengan penyertaan secara automatik.

“Pihak penganjur akan membuat pemantauan dari segi bayaran balik usahawan Hijrah secara mingguan atau bulanan melalui sistem IT Hijrah.

“Peserta yang layak menyertai cabutan bertuah diambil berdasarkan usahawan yang membuat bayaran balik secara mingguan atau bulanan secara konsisten tanpa sebarang tunggakan,” maklum Hijrah di Facebook.

Hijrah memaklumkan cabutan mengikut dua kategori iaitu pembiayaan RM30,000 bagi kategori satu ke bawah dan pembiayaan RM31,000 ke atas (kategori dua).

Cabutan kempen menerusi Facebook Live dan Youtube Hijrah dilaksana dalam dua sesi pada 27 Disember bagi kategori satu dan 28 Disember 2023 untuk kategori dua.

Untuk pertanyaan lanjut, usahawan terlibat boleh menghubungi Hijrah di talian 016-912 1692.

 


Pengarang :