Penduduk di kawasan terjejas beratur mengambil bekalan air disediakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Foto Facebook AIR SELANGOR
AGENDANASIONALSELANGOR

Bekalan air di Gombak, KL pulih 72 peratus setakat 12 tengah hari

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 2 JAN: Status pemulihan bekalan air susulan kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park semalam mencapai 72 peratus setakat jam 12 tengah hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan daerah Gombak mencapai 80 peratus manakala Kuala Lumpur 25 peratus.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam hari ini,” maklumnya di Facebook.

Air Selangor menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Pengguna juga diharap menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya.

Semalam kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park menyebabkan gangguan air tidak berjadual di 83 kawasan sekitar wilayah Gombak dan Kuala Lumpur.


Pengarang :