EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman (tiga, kiri) menyampaikan cek cura kepada dua bekas atlet Selangor yang berupa Rumah Rakyat MBSJ kepada Muhammad Koh Abdullah (tengah) dan geran tanah kepada Abdul Mutalib Mydin (dua, kanan) ketika majlis Ceria Atlet Selangor 2023 di Kampung Bahagia Bukit Lagong Sungai Buloh pada 19 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekas atlet lumba basikal lega dapat geran, tidak risau tanah dirampas

SHAH ALAM, 20 JAN: Bekas atlet lumba basikal negara menarik nafas lega selepas menerima geran pemilikan rumah hasil bantuan Kerajaan Negeri semalam.

Mutalib Mydin, 67, berkata beliau mendiami rumah yang dibina di Kampung Bahagia Bukit Lagong, dekat sini sejak 1980-an dan cuba mendapatkan geran sejak 1997.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman bersalaman bersama bekas atlet lumba basikal negara Abdul Mutalib Mydin di majlis Ceria Atlet Selangor 2023 di Kampung Bahagia Bukit Lagong Sungai Buloh pada 19 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sepanjang tempoh itu hingga hari ini saya susah hati kerana risau tanah dirampas. Saya berulang alik ke pejabat tanah untuk selesaikannya.

“Alhamdulillah Kerajaan Negeri membantu uruskan. Sekarang tak risau apa-apa kerana tanah satu ekar ini jadi hak saya,” katanya yang pernah mewakili Malaysia dalam Sukan Sea 1987 dan 1989 kepada Selangorkini.

Terdahulu EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman menyerahkan geran terbabit pada majlis pelancaran Ceria Atlet Selangor (CAS) 2023 di sini semalam.

Sementara itu bekas atlet angkat berat Mohd Ko Abdullah, 53, berkata bantuan rumah rakyat yang diterima membolehkan kos beban belanja bulanan dikurangkan.

“Kerajaan Negeri membayarkan kos sewa unit Projek Perumahan Rakyat di Subang. Sekarang saya menyewa dan kos agak tinggi,” katanya.

CAS diperkenalkan sejak 2020 membantu kira-kira 200 bekas atlet bagi mendapatkan kehidupan lebih selesa melibatkan belanja hampir RM800,000.

Inisiatif juga sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan golongan berkenaan yang pernah mengharumkan nama negeri.

 

 


Pengarang :