Aksi pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain Jepun Kodai Naraoka pada Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil pada 11 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Beri ruang kepada Zii Jia, hormati keputusan kekal tanpa jurulatih – Hendrawan

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia harus diberi ruang untuk merancang apa yang terbaik bagi perjalanan kariernya, termasuk keputusannya beraksi tanpa jurulatih, kata bekas juara dunia dari Indonesia, Hendrawan.

Jurulatih perseorangan lelaki skuad kebangsaan itu percaya apa yang Zii Jia lalui sekarang ialah proses pembelajaran yang akan memberi pengalaman dan kematangan.

Zii Jia, yang keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada awal tahun lepas, memutuskan untuk bergerak sendiri tanpa jurulatihnya, Indra Wijaya pada November 2022, dan kini dibantu oleh Liew Daren.

“Saya rasa dia sudah memikirkannya, dan kita tak payah melawan (keputusannya). Apa yang dia perlu buat, dia akan buat dan ia ada kelebihan dan kekurangan, namun dia akan belajar daripada situ.

“Dia ada keberanian untuk berani ambil keputusan, selain ini satu proses untuk Zii Jia juga. Saya percaya dia akan lebih matang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Terbuka Malaysia di Axiata Arena.

Rabu lepas, Zii Jia yang beraksi tanpa jurulatih, disingkirkan seawal pusingan pertama oleh pemain meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka dengan keputusan 21-13, 17-21, 19-21.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi Ng Tze Yong, yang turut disingkirkan oleh Naraoka 21-15, 19-21, 15-21 pada pusingan kedua selepas pertarungan lebih 120 minit semalam, Hendrawan berasa terlalu gopoh untuk menang mungkin menjadi antara faktor anak buahnya tewas.

Beliau menegaskan bahawa peluang terbaik bagi Tze Yong, pemain di ranking ke-25 dunia untuk menang adalah apabila mendahului 19-15 pada set kedua, kerana setelah perlawanan masuk ke set ketiga, Naraoka jelas lebih berpengalaman untuk menjadikan keputusan berpihak kepadanya.

“Saya percaya Tze Yong dapat pengalaman yang berguna menentang pemain nombor tujuh dunia itu, terutamanya bagaimana beliau menukar cara permainan, menyerang dan strateginya. Namun, ini satu proses yang Tze Yong harus lalui, perkembangan ini adalah positif.

“Kekalahan ini akan buat dia lebih kuat, kerana pengalaman hari ini tidak boleh diajarkan, tidak boleh dibagi oleh sesiapa… Dia harus mengalaminya sendiri,” kata jurulatih berasal dari Indonesia itu.

Beliau berkata ibarat berenang di lautan luas selepas berlatih di kolam renang, proses Tze Yong, 22, untuk menjadi antara pemain terbaik dunia akan mengambil masa, dengan setiap kemenangan dan kekalahan yang dilaluinya, akan mematangkan pemain berkenaan.

Kali terakhir pemain negara muncul juara Terbuka Malaysia adalah pada 2018, apabila Datuk Lee Chong Wei meraih gelaran ke-12 beliau.

— BERNAMA

 


Pengarang :