Hasli Izwan Amir Hasan fokus menjalani latihan menembak bersama Kelab Menembak Subang baru-baru ini. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Bermula suka-suka, penembak muda kini buru pingat Olimpik

SHAH ALAM, 5 JAN: Pertemuan Haritz Iklil Hessly Hafiz dengan bekas atlet menembak, Hasli Izwan Amir Hasan pada 2015 secara tidak sengaja melahirkan generasi pelapis penembak negara.

Haritz Iklil yang ketika itu berumur 15 tahun dipelawa menyertai Kelab Menembak Subang semasa Hasli Izwan berkunjung ke rumahnya di Taman Melawati, Gombak untuk menjual aksesori kereta. Sejak itu Haritz Iklil mula memupuk minat dalam sukan berkenaan.

Bermula suka-suka, atlet muda yang kini berusia 22 tahun selalu meluangkan masa di lapang sasar setiap hujung minggu.

Hampir dua tahun pasangan Hessly Hafiz dan Fazrina Fauzi meluangkan masa untuk menghantar anak sulung daripada empat beradik ke kelab menembak pada setiap Sabtu dan Ahad.

Selepas tahu menggunakan pengangkutan awam, Haritz Iklil mula berdikari ke kelab dengan menaiki transit aliran ringan supaya dapat meluangkan lebih banyak masa berlatih.

Pada 2017, bakat penuntut tahun dua ijazah komunikasi massa di Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat perhatian jurulatih kelab yang juga jurulatih Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Susulan bakat yang menyerlah, pada 2018, namanya dicadang kepada MSN Selangor untuk dimasukkan dalam program pembangunan atlet.

Hasli Izwan Amir Hasan (empat, kanan) menjalani latihan bersama Kelab Menembak Subang. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Selepas giat menjalani program latihan, bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Melawati, Gombak ini terpilih mewakili Selangor dalam SUKMA Perak 2018 pada usia 18 tahun.

Walaupun tidak memenangi pingat emas tetapi penyertaan pertama anak kelahiran Hulu Kelang ini membuahkan hasil dengan membawa pulang empat perak dan dua gangsa untuk Selangor.

Sejak itu, beliau kerap diberi peluang menyertai pelbagai kejohanan dalam dan luar negara antaranya kejohanan Persatuan Menembak Asia Tenggara (SEASA) 2019 di Jakarta, Indonesia dengan membawa pulang dua emas.

Beliau turut menyertai Kejohanan Menembak Asia 2019 Doha, Qatar, Grand Prix Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISFF) 2022 Jakarta, Indonesia dan Sukan Sea Vietnam 2021.

Kejayaan manis

Namun, kejayaan paling manis apabila meraih empat pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) MSN 2022 yang melabuhkan tirai pada 24 September tahun lalu.

Beliau menjuarai acara 10m air rifle, 10m air rifle berpasukan, 50m air rifle tiga posisi dan 50m air rifle tiga posisi berpasukan.

Lebih membanggakan lagi apabila mencipta tiga rekod kebangsaan menerusi acara 10m air rifle berpasukan, 50m air rifle tiga posisi individu dan berpasukan.

“SUKMA 2022 adalah paling manis dan juga paling sedih. Manis kerana menang empat emas dan cipta tiga rekod kebangsaan, sedih kerana inilah SUKMA terakhir saya,” katanya ketika ditemui Selangorkini di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil.

Hasli Izwan Amir Hasan meraih pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 pada September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Acara 10m air rifle sebagai kegemaran, kini giat membuat persiapan bagi merebut kuota dalam Sukan SEA 2023 Kemboja dan Sukan Asia 2023 Hangzhou, China.

Sasaran lebih besar ditetapkan beliau untuk mewakili negara dalam temasya sukan terbesar Olimpik Paris 2024.

“Saya kena sentiasa fokus, tak boleh lalai, kerja keras dan kekalkan displin untuk dapat tempat dalam pertandingan besar seperti Olimpik,” katanya.

Haritz Iklil juga menepis tanggapan umum kononnya sukan menembak tidak perlu tahap kecergasan tinggi, sebaliknya perlu menjalani latihan seperti atlet lain.

“Atlet menembak juga perlu jaga pemakanan dan kecergasan kerana bila kita menembak, ambil masa lama hingga boleh sampai tiga jam tembak berterusan untuk satu acara.

“Selain itu latihan juga penting untuk memperbaiki degup jantung sebab bila gugup degup jantung jadi laju dan ganggu tumpuan,” katanya.

 


Pengarang :