Juwairiya Zulkifli
ADNSELANGOR

Bina platform konkrit elak risiko kemalangan di tempat pembuangan sampah

SHAH ALAM, 7 JAN: Platform konkrit akan dibina di tempat pembuangan sampah Jalan Sasaran-Bukit Kuching, Kuala Selangor bagi mengelak risiko kemalangan jalan raya di laluan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati berkata keputusan itu dicapai menerusi tinjauannya bersama KDEB Waste Management (KDEBWM), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) semalam.

“Kita telah bincang bersama dan penduduk setuju kekalkan lokasi tong sampah di sini, hanya perlu perbaiki kawasan ini untuk keselamatan pengguna yang hendak buang sampah dan pengguna jalan raya.

“Kata sepakat dicapai untuk menyelesaikan masalah di sini dengan sediakan platform konkrit supaya lebih selamat untuk lori sampah kutip sampah tanpa ganggu laluan lalu lintas jalan raya.

“Ini kerana aduan kami terima bila lori berhenti di tengah jalan untuk kutip sampah ia membahayakan pengguna jalan raya,” kata Juwairiya Zulkifli di Facebook ketika melakukan tinjauan di kawasan berkenaan semalam.

Katanya, platform konkrit berkenaan akan dibuat oleh KDEBWM selain agensi itu juga akan menyediakan tong sampah baharu yang lebih baik.

“Saya harap ini dapat memudahkan orang kampung berhampiran dan menyelesaikan masalah serta kerisauan mereka terhadap isu sampah di laluan ini kerana kita terima aduan kemalangan akibat tong sampah yang diletakkan terlalu hampir dengan jalan raya selain kerosakan kenderaan,” katanya.


Pengarang :