Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar bersama helikopter Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 di Kepala Batas pada 22 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba buat 54 penerbangan ihsan untuk Orang Asli tahun lalu

GUA MUSANG, 12 JAN: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan hampir 200 jam penerbangan ihsan pemindahan perubatan kecemasan (Medevac) bagi mengeluarkan pesakit daripada masyarakat Orang Asli sepanjang tahun lalu.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata statistik terbabit melibatkan 54 penerbangan.

Katanya, enam helikopter digunakan yang masing-masing berpangkalan di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor dan Pangkalan Udara Wilayah Utara Bertam, Pulau Pinang.

“Secara keseluruhan jumlah penerbangan Medevac yang dilakukan anak kapal sepanjang 2022 adalah selama 170.1 jam.

“Empat helikopter diterbangkan dari pangkalan udara Subang iaitu melibatkan sebuah helikopter jenis Agusta A109E, dua buah Agusta Westland AW189 serta sebuah helikopter Mi-17-IV yang digunakan untuk membawa beban lebih berat termasuk barangan dan penumpang.

“Dua buah helikopter Agusta Westland AW139 pula diterbangkan dari pangkalan udara Bertam,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mohd Hasrizal helikopter A109E mencatatkan bilangan permohonan untuk digunakan paling rendah, manakala AW189 mendominasi penggunaan sepanjang 12 bulan lepas.

“A109E diterbangkan sebanyak tujuh kali bersamaan 19.9 jam, diikuti dengan Mi-17-IV sebanyak sembilan kali dengan jumlah penerbangan selama 32 jam, manakala AW139 sebanyak 12 kali dengan 43.2 jam penerbangan dan paling banyak digunakan adalah AW189 sebanyak 26 tugasan dengan 75 jam penerbangan,” katanya.

Beliau berkata penugasan Medevac dilaksanakan hampir setiap bulan pada tahun lepas kecuali April.

“Mengikut statistik operasi Medevac tahun lepas, Unit Udara JBPM telah bertugas bermula Januari hingga Mac dan Mei hingga Disember

“Julai mencatatkan jumlah penerbangan tertinggi iaitu 13 operasi selama 40.6 jam secara keseluruhan yang melibatkan enam pesawat daripada dua pangkalan dalam operasi berasingan,” katanya.


Pengarang :