Anggota Pasukan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibantu oleh masyarakat Orang Asli daripada suku Temiar mengangkat bekalan makanan ketika melaksanakan misi menghantar barang keperluan makanan ke kawasan penempatan orang asli di sekitar pendalaman Gua Musang pada 30 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba buat penerbangan ihsan bawa Orang Asli pengsan ke hospital

GUA MUSANG, 16 JAN: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang lelaki Orang Asli yang pengsan akibat diserang demam panas dari Pos Balar di sini untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata mangsa Rizal Aga, 28, dari suku kaum Temiar mengalami demam panas sehingga menyebabkan badannya lemah serta tidak bermaya dan menggigil akibat muntah sejak tiga hari lepas.

“Kru penerbangan berlepas dengan pesawat Mi-17-IV dari Pangkalan Wilayah Tengah Subang pada 9.40 pagi selepas menerima maklumat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Pada jam 10.55 pagi helikopter tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang bagi tujuan mengambil dua jururawat sebelum tiba di Pos Balar pada 11.20 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hasrizal berkata operasi dilaksanakan dengan mengikut prosedur keselamatan yang memerlukan kesemua anggota dan jururawat memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sepanjang proses penerbangan pemindahan tersebut.

“Pesawat berlepas pulang selepas proses sanitasi dan selamat mendarat di Pangkalan Wilayah Tengah Subang pada 3.40 petang,” katanya yang menambah keadaan mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :