EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas Sesi Dialog Awam ‘Townhall’ Pengurusan Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Menara MPAJ, Ampang Jaya pada 19 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Cadang kongsi maklumat kajian cerun Bukit Antarabangsa dengan penduduk

OLEH AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 20 JAN: Kerajaan Negeri dicadang berkongsi beberapa maklumat kajian terbaharu mengenai keadaan cerun di Bukit Antarabangsa agar penduduk mengetahui status keselamatan dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail berkata kajian dilakukan pakar daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) telah siap didokumenkan dan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri.

“Saya tak boleh dedahkan dokumen kajian itu sekarang sebab tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan belum tengok lagi tetapi saya berpendapat mungkin ada beberapa maklumat yang sesuai boleh dikongsikan kepada penduduk.

“Ramai tertanya-tanya apa yang terjadi sebab berlaku isu cerun di sana sini tetapi mereka tidak pernah tahu apakah spesifik mitigasi dan langkah-langkah yang perlu diambil. Tetapi bila dah tahu jangan panik pula,” kata beliau yang akan membawa cadangan itu kepada Kerajaan Negeri.

Beliau berkata demikian selepas Program Dialog Awam Bersama Penduduk Ampang dengan topik : Pengurusan Cerun di Ampang di Auditorium MPAJ di sini malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua MPAJ Mohd. Fauzi Mohd. Yatim, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ Ir. Zafrul Fazry Mohd. Fauzi, Pegawai Daerah Hulu Langat Dr. Ani Ahmad dan wakil Polis Daerah Ampang Deputi Superintenden Mohamad Fisol Abdullah.

Terdahulu dalam pembentangan semasa sesi dialog tersebut, Ir Zafrul Fazry turut mencadangkan perkara sama iaitu Kerajaan Negeri perlu berkongsi maklumat yang sesuai mengenai kajian cerun tersebut.

Rodziah menambah, beliau juga akan membawa beberapa cadangan ke Parlimen berhubung isu cerun terutamanya di kawasan Ampang.

“Antaranya cadangan agar usaha yang lebih agresif diambil dalam memantau cerun-cerun yang ada dan melakukan langkah pencegahan sebelum perkara tak diingini terjadi.

“Platform mengenai cerun juga perlu diperkemaskan supaya semua agensi terlibat boleh bersama-sama menyelesaikan masalah bukan selesai isu cerun bila berlaku kejadian tanah runtuh tetapi berbincang dan meletakkan perspektif baharu dan bajet yang betul dalam uruskan perkara tersebut,” katanya.


Pengarang :