Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berucap pada Program Pemantapan Wartawan Bersama SPRM di Putrajaya pada 2 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

CEO swasta dipercayai dalang agih projek kerajaan direman lima hari bantu siasatan

PUTRAJAYA, 6 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta lewat malam semalam kerana disyaki menjadi ‘dalang’ dalam pengagihan projek kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 hingga 2022.

Sumber SPRM berkata lelaki berusia 42 tahun itu yang dipercayai menerima rasuah bagi menghubungkan kontraktor dan pihak atasan dalam projek terlibat, ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan penahanan tersebut ketika dihubungi hari ini berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Mahkamah Majistret Putrajaya di sini membenarkan lelaki tersebut direman lima hari hingga Selasa depan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Pada Disember lepas, SPRM mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan yang difokuskan kepada dana kerajaan berjumlah RM92.5 bilion di bawah program rangsangan dan pemulihan ekonomi.

Kenyataan itu memaklumkan siasatan awal mendapati jumlah peruntukan terlibat dalam program tersebut dianggarkan RM530 billion dan hanya RM92.5 billion melibatkan dana kerajaan manakala selebihnya bukan daripada kerajaan.

Sumber SPRM berkata suruhanjaya itu telah membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta secara runding terus.

“Setakat ini beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus,” menurut sumber itu.

– BERNAMA


Pengarang :