Ketua jurulatih Selangor Tan Cheng Hoe meraikan gol bersama pemain selepas skuad Gergasi Merah itu meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 1 Oktober 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Cheng Hoe buru ‘awang import’ perkuat Selangor FC

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe masih ‘bernafsu’ untuk mendapatkan pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023 biarpun sudah berhasil menandatangani tiga pemain tempatan setakat ini.

Beliau berkata skuad Gergasi Merah sedang giat untuk mendapatkan khidmat ‘awang import’ sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada pertengahan Februari ini.

Cheng Hoe bagaimanapun, enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai posisi pemain import yang diinginkannya itu.

“Pemain import yang kita kekalkan pada musim ini ialah Yazan Al-Arab, Richmond Ankrah, Alex Agyarkwa dan Hein Htet Aung. Pemain tempatan yang dibawa masuk pula ialah Muhammad Faisal Abdul Halim, V. Ruventhiran dan Ahmad Khuzaimi Piee.

“Untuk pemain import baharu kita masih mencari dan diharapkan dalam masa terdekat kita dapat mengisi kekosongan itu kerana masa kian suntuk kerana liga akan bermula 24 Feb ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pengumuman Daikin Malaysia Sdn Bhd selaku penaja semusim pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga-M 2023 di Bandar Menjalara, dekat sini hari ini.

Selangor FC yang mengumumkan Ramon Marcote sebagai pembantu jurulatih kedua di samping Cheng Hoe semalam, dalam masa sama sedang merencana beberapa perlawanan persahabatan di dalam mahupun luar negara sebagai persiapan pasukan menghadapi saingan musim ini.

“Setakat ini latihan pramusim sudah pun bermula namun disertai beberapa pemain sahaja manakala yang lain sedang beraksi bersama pasukan kebangsaan pada Piala AFF, jadi kita akan tunggu mereka selesai sebelum latihan penuh dijalankan.

“Bagi saya untuk menyaksikan pasukan ini lebih meningkat daripada musim sebelumnya dan memberi saingan lebih hebat kepada mana-mana pasukan,“ kata Cheng Hoe.

Terdahulu, Selangor FC diwakili Ketua Pegawai Operasi, Alacdin Mostafa dan Pengurus Besar Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd, Lawrence Song menandatangani dokumen perjanjian kerjasama kedua-dua pihak sambil disaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

– BERNAMA


Pengarang :