Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi Subramaniam pada sidang media selepas Pelancaran OP Selamat 19/2023 Sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuti Tahun Baharu Cina: Kenderaan di Lebuh Raya KL-Karak dijangka bertambah 71 peratus

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan pertambahan 71 peratus jumlah kenderaan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak berbanding hari biasa sepanjang cuti perayaan sempena Tahun Baharu Cina Ahad ini.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata dianggarkan sebanyak 171,000 kenderaan akan menggunakan lebuh raya itu setiap hari bermula Jumaat ini berbanding purata penggunaan harian iaitu 100,000.

“PDRM akan terus mengatur strategi dan mengambil segala inisiatif bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan termasuk memberi fokus kepada penguatkuasaan undang-undang, advokasi dan pencegahan jenayah serta kehadiran polis di lokasi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat-19 Kontinjen Selangor sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Gombak hari ini.

Beliau berkata menerusi Op Selamat-17 sempena perayaan Tahun Baharu China tahun lepas, sejumlah 2,810 kemalangan direkodkan dengan 21 kematian berbanding 4,824 kes dan 23 kematian dalam Op Selamat-16 pada 2020.

Sasikala berkata pihaknya turut mengenal pasti enam lokasi hotspot kemalangan dan kesesakan di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang Utara, Hulu Selangor, Gombak serta Ampang.

Beliau turut menasihati orang ramai yang ingin pulang supaya mengisi maklumat balik kampung bagi mengurangkan risiko kes pecah masuk rumah.

“Orang ramai boleh hubungi mana-mana balai polis berdekatan atau mengisi borang maklumat balik kampung yang boleh dimuat turun di portal PDRM,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :