Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular dalam laman sosial. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Diugut penyamar pegawai polis, warga emas rugi RM140,000

IPOH, 17 JAN: Seorang warga emas mengalami kerugian RM140,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata wanita berusia 66 tahun dan tidak bekerja itu membuat laporan polis semalam berhubung kejadian tersebut.

“Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis bernama ‘Puan Rohani’ dengan mendakwa kononnya mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan akan ditangkap.

“Mangsa mendakwa telah ditipu oleh suspek sejak Oktober hingga Disember tahun lalu dan apabila membuat semakan semalam mendapati wang dalam akaun banknya telah berkurangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Omar berkata modus operandi sindiket itu ialah meminta mangsa memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji ke akaun bank mangsa dan menyerahkan maklumat bank kepada suspek.

“Suspek telah bertindak memindahkan wang di dalam akaun mangsa ke dalam akaun individu yang tidak dikenali,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Omar berkata sebanyak RM2.4 juta membabitkan 87 kes Macau Scam direkodkan di daerah Manjung sepanjang tahun lepas.

“Polis mendapati antara modus operandi penipuan Macau Scam adalah suspek menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai penguat kuasa, polis, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), mahkamah, institusi kewangan atau syarikat perkhidmatan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak melayan panggilan telefon oleh individu yang tidak dikenali selain  tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :