AGENDANASIONAL

Dua pemancing dilaporkan hilang ditemukan selamat

KUANTAN, 19 JAN: Dua pemancing yang dilaporkan hilang sejak Isnin lepas ditemukan selamat di Teluk Juara, Pulau Tioman, Rompin semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata Chia Swee Kwong, 49, dan Zulfahmi Izzudin Gan Abdullah, 45, ditemukan pada 2.30 petang dalam keadaan lemah oleh orang awam.

Beliau berkata berdasarkan maklumat daripada majikan mereka, kedua-dua mangsa yang merupakan pekerja resort telah keluar memancing dengan menaiki bot fiber dari Teluk Juara dan kebiasaannya akan pulang pada hari yang sama.

Bagaimanapun, mangsa tidak pulang pada hari kejadian dan usaha menjejaki mereka juga menemui jalan buntu selepas telefon bimbit dua pemancing itu gagal dihubungi.

“Mangsa memaklumkan bot mereka kehabisan minyak dan dipukul ombak menyebabkan bot karam. Kedua-dua mangsa terselamat kerana memakai jaket keselamatan dan berenang menuju ke daratan yang berdekatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kamal Ariffin berkata kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman untuk rawatan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :