Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyampaikan bantuan kewangan Pekawanis ketika penyerahan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina DUN Bukit Melawati di Sasaran, Sungai Buloh pada 22 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Bandar Baru Klang sedia 600 baucar beli-belah Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 5 JAN: Sebanyak 600 baucar beli-belah diperuntuk kepada penganut Tionghoa sekitar Bandar Baru Klang sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata kuota lebih banyak berbanding Dewan Undangan Negeri (DUN) lain kerana jumlah pengundi di kawasan terbabit melebihi 80,000.

Jelas Dato’ Teng Chang Khim, pemohon yang layak akan memperoleh baucar Jom Shopping bernilai RM200 dalam tempoh terdekat.

“Permohonan yang diterima memang ramai, biasanya melebihi kuota yang kita ada tetapi keseluruhannya lebih 90 peratus (pemohon) akan dapat.

“Buat masa ini kita belum agih lagi, tetapi pemohon yang berjaya sudah dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berharap perayaan kali ini diraikan dalam suasana harmoni dengan keunikan masyarakat majmuk di negara ini.

“Tahun yang penuh cabaran ini diharap kita dapat mengekalkan perpaduan selain terus berusaha gigih untuk memajukan ekonomi,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

Program itu merupakan bantuan yang dilaksanakan bersempena tiga perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Deepavali bagi meringankan beban keluarga kurang mampu untuk membeli barangan keperluan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :