Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Rozana Zainal Abidin (kanan) bersama orang ramai yang datang berbelanja dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Terbuka Kampung Ujong Permatang, Tanjung Karang pada 26 Januari 2023. Foto Facebook ROZANA ZAINAL ABIDIN
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Permatang agih 200 kupon diskaun, bantu penduduk beli barang murah

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 28 JAN: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang mengagihkan kupon RM5 kepada 200 pelanggan pertama program jualan murah di Dewan Terbuka Kampung Ujong Permatang, Tanjong Karang, Khamis lalu.

Wakil rakyatnya berkata sumbangan tersebut merupakan penghargaan dan galakan kepada rakyat agar datang ke program Jelajah Ehsan Rakyat (JER).

“Ini kali ketujuh PKM DUN Permatang menyumbangkan kupon RM5 semasa program jualan murah bermula tahun lepas.

“Dengan kupon itu mereka boleh membeli lebih banyak barangan dan membantu lebih berjimat,’’ kata Rozana Zainal Abidin ketika dihubungi.

Menurut beliau, hampir 400 pelanggan datang berbelanja dalam program JER dan telur serta ayam merupakan barangan terlaris kerana habis dijual pada kira-kira 11.30 pagi.

“JER seterusnya akan diadakan pada 31 Januari ini,” katanya sambil menambah ia adalah kali ketiga program itu diadakan di DUN berkenaan.

Pada tahun lepas 17 program JER dijalankan di DUN Permatang dan telah memberi manfaat kepada 20,000 penduduk.

Inisiatif jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu diteruskan sejak 16 Januari lalu hingga Mac ini.

Antara produk ditawarkan ialah ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :