Dewan Undangan Negeri (ADN) Tanjung Sepat menyediakan perkhidmatan ambulans secara percuma bagi membantu penduduk terutama yang kurang berkemampuan pergi ke hospital menerima rawatan. Foto Facebook Borhan Aman Shah
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

DUN Tanjung Sepat sedia ambulans percuma, bantu orang susah ke hospital

SHAH ALAM, 12 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat menyediakan perkhidmatan ambulans secara percuma bagi memudahkan penduduk pergi hospital mendapatkan rawatan.

Borhan Aman Shah berkata perkhidmatan itu khusus untuk penduduk kawasan tersebut yang kurang berkemampuan untuk membayar perkhidmatan ambulans.

Menurut beliau, bayaran dikenakan untuk perkhidmatan ambulans agak mahal mengikut jarak seperti dari Banting ke Batu Laut yang mencecah RM600.

“Dengan adanya perkhidmatan ini, dapat membantu meringankan beban penduduk. Perkhidmatan ini sebenarnya sejak 2021 dan bukan sahaja untuk yang mahu pergi ke hospital tetapi dibenarkan pulang ke rumah tetapi memerlukan ambulans.

“Ambulans ini diuruskan oleh 10 sukarelawan Pusat Khidmat Masyarakat Tanjung Sepat yang mempunyai sijil khas setelah menjalani kursus,” katanya kepada SelangorKini.

Borhan yang juga EXCO Kerajaan Negeri memaklumkan setakat ini sambutan diterima menggalakkan dan penduduk berpuas hati kerana mudah mendapatkan perkhidmatan ambulans.

“Kita pernah mendapat panggilan daripada penduduk luar Tanjung Sepat meminta perkhidmatan ini tetapi terpaksa tolak kerana luar kawasan.

“Bagi yang ingin mendapatkan perkhidmatan ini, mereka boleh hubungi pusat khidmata masyarakat pada bila-bila masa,” katanya.

Penduduk DUN Tanjong Sepat boleh menghubungi nombor talian 03-3148 1029 / 011-2351 3004 / 018-465 8184 untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans percuma.


Pengarang :