AGENDANASIONAL

Elak ditahan JPJ, lelaki lari tinggalkan tunang di plaza tol jambatan Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 26 JAN: Seorang wanita terkejut dan hanya mampu menahan sakit apabila terjatuh daripada motosikal yang diboncengnya ketika tunangnya membrek secara mengejut dan meninggalkan beliau di laluan motosikal Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang menghala ke pulau, malam tadi.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa berkata dalam kejadian 9.45 malam itu, pihaknya yang sedang menjalankan Ops Motosikal mengarahkan lelaki itu untuk membuat lencongan bagi pemeriksaan lanjut, namun dia terus membuat pusingan U dan memecut dengan meninggalkan wanita itu.

“Lelaki itu mungkin terkejut melihat terdapat operasi dijalankan JPJ di laluan tersebut dan ketika dia membrek, pemboncengnya yang juga wanita terjatuh dan mengalami kecederaan ringan di tapak tangan.

“Lelaki itu kemungkinan takut ditahan pihak berkuasa kerana tidak mempunyai lesen atau tiada cukai jalan, wanita tersebut mengakui penunggang motosikal itu tunangnya dan mereka dalam perjalanan dari Seberang Perai ke pusat bandar (George Town),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ops Motosikal sempena Operasi Tahun Baharu Cina (THC) 2023 selama tiga jam bermula 8.30 malam itu dijalankan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Adenan berkata wanita berusia 20-an itu tidak ditahan kerana tidak melakukan sebarang kesalahan namun dia menghilangkan diri tidak lama kemudian tanpa sempat diberi rawatan awal.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 2,043 motosikal diperiksa sepanjang operasi itu dan 301 kenderaan diambil tindakan membabitkan 473 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, manakala 27 motosikal disita.

“Kebanyakan kesalahan yang dilakukan ialah tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada perlindungan insurans dan mengubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan JPJ.

“Kami mendapati, kesalahan tiada lesen memandu sangat tinggi mencecah 100 kes dan ini menunjukkan kesedaran penunggang motosikal berhubung perkara itu masih berada pada tahap rendah,” katanya.

Operasi itu turut menahan dua lelaki iaitu masing-masing warga Indonesia dan warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta 10 lelaki berusia 20-an hingga 30-an kerana positif dadah.

– BERNAMA


Pengarang :