Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika majlis pembukaan Kedai Buku Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 7 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Elak rebakan semula Covid-19, negeri tawar 200,000 dos vaksin

PETALING JAYA, 7 JAN: Kerajaan Negeri menyedia sehingga 200,000 dos vaksin Covid-19 bagi meneruskan program Selangor Vaksin (Selvax) bermula hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada baki 600,000 dos yang dibeli sebelum ini bertujuan melindungi masyarakat.

“Kita ada baki sekitar 500,000 hingga 600,000 dos. Saya percaya kali ini kita laksanakan (Selvax), kita boleh dapatkan 100,000 hingga 200,000 untuk berikan kepada orang awam.

“Bagaimanapun jumlah bergantung kerana di peringkat persekutuan juga sudah berjalan. Saya percaya langkah ini (Selvax) bantu percepatkan proses inokulasi,” katanya pada majlis peluncuran Kedai Buku Rencana Institusi Buku Darul Ehsan hari ini.

Semalam, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud mengumumkan penerusan program Selvax termasuk suntikan pelalian di 15 cawangan Klinik Selcare dan THE KL Clinic di negeri ini.

Pendaftaran boleh dibuat secara terus namun orang ramai digalakkan membuat temujanji melalui panggilan ke talian 1-800-22-6600.

Sementara itu, Amirudin berkata langkah tambahan mengelak risiko penyebaran semula Covid-19 oleh pelancong China akan diputuskan minggu depan.

“Kita sudah ada beberapa cadangan dan ia akan diteliti lebih lanjut pada Rabu ini pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ” katanya.

Sebelum ini beliau berkata perbincangan akan dibuat dengan menteri berhubung tatacara operasi piawai (SOP) kemasukan pelancong China memandangkan Selangor merupakan pintu masuk utama negara.


Pengarang :