EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Rodziah Ismail berucap ketika Sesi Dialog Awam ‘Townhall’ Pengurusan Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Menara MPAJ, Ampang Jaya pada 19 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Empat kawasan cerun berisiko di Ampang dipasang sistem peranti amaran

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 20 JAN: Empat kawasan cerun berisiko di Ampang dipasang sistem amaran awal bagi tujuan pemantauan pergerakan tanah yang boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata empat kawasan cerun terlibat adalah Taman Mega Jaya, Taman Seraya, Taman Wangsa 1 dan Taman Bukit Jaya.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memantau sistem amaran awal berkenaan dan akan melakukan kerja menstabilkan cerun di kawasan terlibat bagi mengelak kejadian tanah runtuh.

“Namun kerja mengelak tanah runtuh ini bukan hanya MPAJ sahaja kena selesaikan tetapi komitmen pemilik tanah sama ada swasta atau persendirian juga diperlukan,’’ katanya selepas program dialog awam bersama penduduk di Auditorium MPAJ di sini malam tadi.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Rodziah Ismail berucap ketika Sesi Dialog Awam ‘Townhall’ Pengurusan Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Menara MPAJ, Ampang Jaya pada 19 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain Rodziah, dialog berkenaan turut dihadiri Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ Ir Zafrul Fazry Mohd. Fauzi, Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad dan wakil Polis Daerah Ampang Deputi Superintenden Mohamad Fisol Abdullah selaku ahli panel.

Rodziah yang juga Ahli Parlimen Ampang turut menyokong cadangan mewujudkan komuniti untuk berkongsi maklumat mengenai tanah runtuh termasuk tanda-tanda kejadian.

“Kalau ada tanda-tanda luar jangka yang berlaku, komuniti ini boleh memaklumkan kepada MPAJ untuk tindakan lanjut,’’ katanya.


Pengarang :