Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong (kanan) menyerahkan cenderahati kepada pengguna jalan raya selepas melancarkan Op Selamat 19/2023 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sempena Tahun Baharu Cina di Bandar Botanik pada 18 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Empat lokasi kemalangan maut dikenalpasti polis Klang Selatan

KLANG, 18 JAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mengenal pasti empat lokasi sering berlakunya kemalangan maut di kawasan pentadbirannya terutama membabitkan mangsa yang menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata jalan berkenaan ialah Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Pelabuhan Barat dan jalan pintasan (Jalan Pelabuhan Barat menghala Jalan Pelabuhan Utara).

“Kesemua jalan berkenaan juga ialah kawasan yang kerap dilalui oleh kenderaan berat,” katanya ditemui selepas Program Op Selamat 19/2023 peringkat IPD Klang Selatan, di sini hari ini.

Program Op Selamat 19/2023 peringkat IPD Klang Selatan dilancarkan bermula hari ini hingga 27 Januari bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya untuk berhati-hati ketika pulang ke kampung sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata operasi itu turut memberi fokus kepada kesedaran awam berkenaan jenayah kehilangan harta benda di rumah atau premis yang ditinggalkan sepanjang tempoh perayaan berkenaan.

Sementara itu, Cha berkata kira-kira 80 peratus anggota IPD Klang Selatan akan bertugas ketika Tahun Baharu Cina hujung minggu ini untuk membuat rondaan, operasi dan bersiap sedia di balai masing-masing.

Bagaimanapun, Cha turut menasihati orang ramai yang tidak pulang ke kampung untuk menjadi mata dan telinga pihak polis bagi melaporkan kegiatan mencurigakan di dalam kawasan mereka.

Katanya, kira-kira sejuta penduduk termasuk warga asing dan ratusan ribu unit rumah berada dalam kawasan seliaan pihaknya yang perlu dipantau sepanjang musim perayaan ini.

– BERNAMA


Pengarang :