Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada pemberita selepas majlis amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Enam korban tragedi tanah runtuh di Batang Kali penerima skim insurans negeri

SHAH ALAM, 11 JAN: Enam korban tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali dikenal pasti sebagai penerima Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan menyerahkan sumbangan bernilai RM10,000 kepada keluarga mangsa dalam tempoh terdekat.

“Kita sudah kenal pasti enam daripada 31 mangsa yang terkorban dalam tragedi itu adalah penerima INSAN.

“Itu adalah contoh manfaat yang akan diperolehi jika rakyat mendaftar dalam skim tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2023 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sebelum ini Amirudin berkata seramai 3.56 juta penduduk memohon INSAN setakat 17 November lalu.

Sejak diperkenalkan pada Oktober tahun lalu, INSAN yang dilaksana Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyasarkan enam juta rakyat Selangor menerima manfaat.

Ia ditawarkan kepada individu berumur 30 hari sehingga 80 tahun yang mempunyai alamat kad pengenalan di Selangor atau pengundi di Selangor.

Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun manakala 61 mangsa terselamat.


Pengarang :