Aktiviti perkhemahan di Bernam Nature Hut (gambar hiasan). Foto BERNAM NATURE HUT
AGENDANASIONAL

EXCO: Garis panduan aktiviti perkhemahan rangkumi semua aspek, utamakan keselamatan dan nyawa

SHAH ALAM, 29 JAN: Garis panduan aktiviti perkhemahan yang bakal dikeluarkan Kerajaan Negeri merangkumi keseluruhan aspek antaranya risiko keselamatan dan perundangan perlesenan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata dasar berkenaan turut mengambil kira kategori perkhemahan serta perancangan dan kelululusan tapak bagi menjalankan aktiviti terbabit.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han bercakap ketika sidang media selepas majlis pelancaran eKupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP)  di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita juga memfokuskan aspek fasiliti dan perkhidmatan yang disediakan pihak operator di lokasi perkhemahan.

“Kerajaan Negeri berharap dapat mewujudkan satu garis piawaian yang minima namun wajib dipatuhi oleh semua operator,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sze Han berkata bagi mendapatkan pandangan semua pihak, satu bengkel dianjurkan tiga hari ini bermula hari ini melibatkan pelbagai agensi untuk membincangkan garis panduan itu.

Antaranya Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Majlis Perbandaran Hulu Selangor, jabatan perhutanan, jabatan kerja raya, pejabat daerah dan tanah serta Tourism Selangor.

“Sebelum ini kita adakan sesi dialog awam dengan 11 wakil persatuan perkhemahan termasuk Malaysia Inbound Tourism Association, Campsite Owners Hulu Selangor, Family Camping Malaysia, Malaysia Camping Association dan The Nest @ Maeps MARDI Serdang.

“Saya menghargai segala maklumat, data dan dapatan yang dibentangkan setiap wakil. Dapatan diperoleh akan dikemukakan ke pentadbiran negeri untuk kelulusan,” katanya.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berkata garis panduan berhubung ketetapan dan peraturan aktiviti perkhemahan akan dikuatkuasa sebagai langkah menjamin keselamatan nyawa.

Ia susulan kejadian tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada Disember lepas yang mengorbankan 31 nyawa.


Pengarang :